Followers

Showing posts with label ...Yang Manis. Show all posts
Showing posts with label ...Yang Manis. Show all posts

Saturday, 15 December 2012

...Yang Manis (bab 2)

“Saya berasal dari kampung Sidam Kiri, Padang Serai. Berhampiran Sungai Petani,” jawab Raees tenang.
Wajah Wafi yang bersih dengan janggut sejemput dipandang dengan penuh harapan. Wafi angguk beberapa kali kemudian pandang Raees dari atas ke bawah. Emm, wajah nampak suci.
“Datang dari Sungai Petani semata-mata nak mohon kerja ni? Sebelum ni kerja apa?” soal Wafi.
“Sebelum tu saya cuma cikgu sandaran.” Wafi angguk.
Kalau pernah jadi cikgu, mesti keperibadian juga baik. Susah mahu cari pekerja begini. Inilah peluang yang terbaik.
“Saya terima Raees untuk jawatan marketing kita orang. Untuk permulaan, saya hanya mampu tawarkan gaji sebanyak tiga ribu setengah. Harap dapat bekerja dengan baik.” Wafi tutup fail yang mengandungi semua matlumat mengenai Raees dan serahkan semula kepada Raees. Wafi tidak mahu banyak cerita. Yang penting, dapat beri tumpuan terhadap tugas yang diamanahkan sudah cukup.
“Alhamdulilah, terima kasih encik. Bila saya boleh mula kerja?” soal Raees dengan perasaan yang cukup gembira. Tidak sia-sia dia datang dari jauh. Rupanya rezeki memang sudah tersedia untuknya.
 “Awak boleh mulakan kerja esok. Selepas ni awak jumpa dengan Puan Selvarani,di depan tu. Dan berikan semua butir peribadi awak kepada dia. Selamat menyertai kami.” Wafi hulur tangan tanda mengalu-alukan kedatangan Raees sebagai pekerja baru.
Raees sambut tangan Wafi dengan penuh gembira dan syukur. Raees tidak dapat sembunyikan perasaan gembiranya. Syukur alhamdulilah. Orang pertama yang wajib diberitahu tentang berita gembira itu ialah emaknya, Puan Mariana. Sudah tentu berkat doa seorang ibu, sudah termakbul hajatnya mencari rezeki jauh dari kampung halaman.
“Mak, orang dah dapat kerja ni. Esok orang mula kerja,” beritahu Raees sebaik sahaja salamnya dijawab Puan Mariana.
“Alhamdulilah. Senang hati mak dengaq. Kerja elok-elok.”
“Insya Allah mak. Orang nak habaq mak benda tu aje. Orang nak pi bank ni, nak buat kad. Assalamualaikum mak.”
“Waalaikumusalam.” Lega perasaan Puan Mariana. Doanya sudah dimakbulkan. Kemudian Puan Mariana simpan telefon bimbit ke dalam poket baju kurung dan sambung sapu daun-daun kering yang jatuh bertaburan di halaman rumah.
“As, anak kak dapat kerja!” laung Puan Mariana ketika Puan As kalut bagi makan ayam.
“Ya ka? Alhamdulilah. Tak sia-sia Raees tinggalkan kampung. Dapat jugak dia kerja tu. Bila dia mula kerja?” Puan As mula melangkah menghampiri halaman rumah Puan Mariana.
“Raees cakap, esok dia mula.” Tak sudah senyuman menghiasi bibir Puan Mariana. Ada juga rezeki buat anak lelaki tunggalnya. Puan Mariana duduk di pangkin bawah pokok pelam yang sedang berbuah lebat selepas itu untuk melepaskan rasa penat. Angin dari sawah bertiup membawa angin nyaman. Pokok-pokok padi yang mula terbit buah menari-nari mengikut rentak angin.
“Lega perasaan kak,” kata Puan Mariana lagi. Puan As juga duduk sama di pangkin.
“Tapi kak teringat jugaklah dia. Risau perut sejak dia pi.” Puan Mariana lap pula peluh di dahi.
“Dia dah besaq. Taulah jaga diri. Kak tok sah dok ingat sangat. Susah hati-susah hati nanti, naik darah lagi.”
“Tu anak As, hati mak mana yang tak risau.”
 “Macam tulah masa Jidin pi dulu. Tak lalu juga makan dalam seminggu. Tapi kita nak buat macam mana, depa dah besaq. Mana kita boleh halang,” pujuk Puan As. Puan Mariana tarik nafas, lega campur bimbang.
Masa itulah, Puan Mariana nampak Rosni sedang mengayuh basikal menghala ke arah rumahnya. “Kalau kak tak pi pinang Rosni dulu, rasanya Raees tak merajuk sampai bawak diri lagu ni,” kata Puan Mariana lagi.
 “Taklah kak, Raees memang nak mintak kerja kut. Bukan pasai Rosni.”
“Tulah, kak yang gatai pi pinang Rosni tak habaq kat Raees. Sudahnya Raees malu.” Menyesal sungguh Puan Mariana ketika itu kerana memandai sendiri. Sudahnya Rosni tolak bulat-bulat.
 “Kak tak tau ka, dia dok bergila dengan Mail Lambung. Satu kampung dah tau,” bisik Puan As bila Rosni sudah hampir benar dengan mereka.
“Mail lambung cucu Odah soget ka?”
“Ha la, budak tulah. Mana segak pun. Hitam legam. Nak banding dengan Raees jauh sangat. serupa taik cicak.” Galak Puan As anyam ketupat. Geram sebenarnya sebab dia pun pernah impikan Rosni jadi menantu.
 “Dah dia berkenan yang had warna tu, kita nak buat macam mana. Selera masing-masing,” kata Puan Mariana sambil buang jauh-jauh rasa marah dan dendam. Rosni bukan jodoh Raees.
“Assalamualaikum, awai parlimen bersidang. Ada isu tergempaq ka?” Rosni tongkat basikal. Kemudian bersalaman dengan Puan Mariana dan Puan As.
“Perlimen kami biasa la, bersidang selalu,” perli Puan As.
 “Hang tak kerja ka hari ni?” soal Puan Mariana.
“Cuti, mak nak pi hospital. Ros nak mintak daun kunyit sikit.”
“Daun kunyit rumah hang mana pi?” soal Puan As.
“Habis siput babi makan,” kata Rosni sambil berjalan ke arah rumpun kunyit milik Puan Mariana yang tidak jauh dari pangkin.
“Tak sekolah betui sipu babi rumah Ros tu. Sampai daun kunyit pun balun habis.” Puan As belum sudah lagi. Terus Puan Mariana tarik baju Puan As. Tidak mahu Puan As menyindir lagi. Cukup sudah. Puan As diam.
“Err… Raees mana? Dua hari tak nampak.” Soal Rosni sekembalinya dari mengambil beberapa helai daun kunyit.
“Mak cik ingat Ros tak perasan Raees tak dak,” kata Puan Mariana perlahan. Huh, ada hati lagi nak tanya anak orang tu.
 “Perasan, tu yang tanya.”
 “Raees dah dapat kerja kat Kuala Lumpur. Esok dia mula kerja,” jelas Puan Mariana. Gadis tinggi lampai dan berkulit hitam manis dipandang lama.
 “Emm, baguslah,” kata Rosni. Dalam hati berbisik juga. Sampai hati Raees tak cakap apa-apa. Marah sangatkah pinangan ditolak?
“Balik dululah, mak nak pi hospital sat lagi. Terima kasih daun kunyit ni,” kata Rosni sambil kayuh basikal semula. Tinggalkan keduanya tanpa salam-salam lagi. Berbekas juga sebab Raees tak cakap apa-apa.
“Kak harap nanti, Raees dapatlah jodoh orang sana. Senang hati sikit,” kata Puan Mariana penuh harap. Kalau boleh biarlah Raees kahwin dulu daripada Rosni.

“Hoi minah, nak ke mana pulak tu?” panggil Nawal. Iman tidak peduli. Dia pasti itulah lelaki pemilik mangkuk bertingkat.
“Abang baju putih!” jerit Iman sehabis kuat. Peduli apa dia. Langkah Raees terhenti. Dia toleh belakang. Seorang gadis berkasut tinggi berkaca mata hitam ala-ala mata belalang, dan berskirt pendek sedang melambai ke arahnya.
“Ya, ada apa cik?” soal Raees. Pelik juga. Iman terbongkok menahan penat. Laju gila mamat ni berjalan. Bila lelahnya sedikit berkurangan, Iman tegak badan dan tolak cermin mata ke kepala.
“Ingat Iman tak?” soal Iman.
Raees tatap wajah Iman. Walau warna pada mata Iman, tidak sama dengan warna mula-mula mereka berjumpa, masakan Raees akan lupa. Dan hari ini warna pada muka Iman, mengalahkan warna burung merak, Raees kenal juga sebab wajah itulah yang terbayang-bayang dek mata sejak semalam.
“Ya, ingat. Cik yang terlanggar saya semalam bukan?” kata Raees. Perasaan gembira yang dibawa bersama buat Raees tersenyum.
“Jangan panggil ciklah. Panggil Iman sudah.” Raees senyum lagi. Sedap nama. Indah untuk disebut, tapi sayang penampilannya tidak begitu indah. Kan manis kalau berbaju kurung dan tambah manis kalau bertutup kepala. Rasa jatuh jantung Iman melihat senyuman Raees. Inilah senyuman paling manis. Justin Bieber pun boleh tumbang apatah lagi setakat Siwon. Memang manis gila. Dup dap dup dap jantung Iman tambah dua kali ganda.
“Ya, kenapa Iman panggil abang?” soal Raees lagi. Abang? Rasa kecut perut Raees membahasakan dirinya abang. Belum pernah dia membahasakan diri sebagai abang dengan gadis secantik Iman.
“Pasal semalam, Iman betul-betul minta maaf,”
 “Oh, pasai tu ka? Tak apalah. Iman tak sengaja pun.” Dia orang Kedah ke? Lah jauhnya. Kedah pun Kedahlah. Kalau hati dah suka, orang Siam pun tak apa. Bukan kira tu semua. Jadi Iman, apa lagi. Nombor telefon dia mintalah.
“Abang buat apa kat sini?” Iman tunjuk ramah. Kena merewang dulu baru boleh minta nombor telefon. Kalau minta terus, memang karutlah. Orang gila pun fikir sepuluh kali nak bagi pada orang yang tak dikenali.
“Abang datang minta kerja. Alhamdulilah dapat. Esok abang mula kerja.” Raees juga terlebih ramah. Bukan apa, suka juga dengan budak Iman ini. Dia tak sombong walaupun dia cantik dan gaya-gaya seperti anak orang berada. Tapi tulah. Kepala lutut Iman tu yang dia tak berapa berkenan. Satu lagi yang buat Raees teringat selalu, calang-calang orang mana mau nak bercakap dengan Raees. Diakan serabai semacam. Mana tau bergaya ikut orang bandar. Tu yang Raees jatuh suka.
“Ya? Alhamdulilah.” Iman tumpang suka.
“Abang pi dululah. Banyak nak kena buat lagi ni. Assalamualaikum.” Raees mengalah. Bukan dia tidak mahu berbual lebih lama. Tujuan dia datang jauh-jauh bukanlah mahu mengayat anak dara orang. Dia mahu bekerja. Mahu mencari rezeki yang mungkin boleh membantu sedikit meringankan beban orang tua.
“Waalaikumusalam.” Hampa. Betul-betul Iman hampa. Jangan kata nombor telefon, nama pun Iman masih tidak tahu. Buat penat dia berlari. Dengan langkah longlai, Iman kembali ke tempat Nawal menunggu.
“Apa hal?” soal Nawal.
“Tak dak apa-apa.” Nawal kerut dahi. Kemudian pegang dahi Iman. Takut tersampuk tadi. Tiba-tiba boleh cakap loghat belah-belah utara.
“Kau demam ke apa ni? Tiba-tiba saja boleh tukar channel.” Nawal gelak. Boleh pitam kalau ada sepuluh orang kawan macam ni. Dia jumpa orang Kedah, dia tukar channel Kedah, dia jumpa orang Siam, dia tukar channel Siam.
“Satgi aku cerita, aku nak pi jumpa abang aku. Nak mintak duit sikit.” Iman sambung cakap ikut loghat belah utara. Saja, terlebih hampa. Nawal sudah tidak boleh kata apa melainkan gelakkan Iman. Macam-macam. Tanpa memperdulikan Nawal, Iman terus saja melangkah menuju ke tempat syarikat milik Datuk Asri.

...Yang Manis (bab 1)

“KENAPA tak cakap awai-awai hang nak mai? Boleh aku pi ambik.”
Jidin mula berleter melihat Raees lemah. Kawan satu kampung yang sudah berusia 28 tahun itu sudah berhenti dari menjadi guru sandaran. Katanya rimas mengajar budak-budak darjah satu sedangkan masa di Universiti Sains Malaysia dulu langsung dia tak ambil subjek mengajar-mengajar ni. Jauh sungguh terpesong.
Baru dua hari lepas Raees menghubungi Jidin. Mengkhabarkan tentang temuduga yang mahu dicuba. Pengawai pemasaran untuk sebuah syarikat pengeksport bekalan minyak masak untuk negara-negara timur tengah.
“Tak maulah, hang pun sibuk.”
Mata Raees mula pandang kiri kanan rumah kedai paling atas. Semak samun. Tuala mandi bergantungan di merata tingkap. Baju, seluar main dan mana nak letak. Sakit mata Raees. Dia pun lelaki, tapi taklah pemalas lagu ni.
“Hang tinggal berapa orang ni? Tak menyusahkan ke?” soal Raees sedikit ragu dengan status dirinya di rumah tersebut. Bimbang mengundang rasa tidak senang rakan serumah Jidin yang lain.
“Taklah, budak-budak rumah ni tak kisah.” Jidin mencari sesuatu di dalam peti sejuk. Raees menantikan juga air apa yang bakal Jidin hidangkan.
Bila melihatkan hanya bekas botol mineral serta dua buah cawan plastik saja yang Jidin bawa, tahulah Raees dia bakal dijamu dengan air rasmi, ‘ayaq sejuk’. Jidin yang nama sebenarnya Tajudin bin Alias, namun disebabkan masa kecil kuat menangis nama Jidin kekal hingga ke hari ini. Mujur dulu tok wan Jidin hanya memanggil dengan nama itu, buatnya jubin atau siling, lagi haru. Lelaki yang sebaya dengan Raees yang bekerja sebagai kerani bank itu, pernah menjadi lelaki tersegak di kampung mereka bila mana, Jidin satu-satunya anak muda yang berjaya pulang dengan bergayanya Kancil keluaran baru. Namun kedudukan teratas Jidin tidak kekal lama, bila Roy atau nama sebenarnya Azrul anak bongsu ketua kampung berjaya membawa pulang pula Proton Saga keluaran baru.
“Bila temudugannya?” soal Jidin. Mengambil tempat di sofa lusuh.
“Pagi esok. Pukul lapan mesti ada kat sana. Hang boleh tolong hantaq aku sat? Kalau harap aku pi cari, pukul lapan malam esok pun sah tak jumpa.” Raees buat muka simpati. Siapa lagi mahu diharap kalau tidak Jidin. Sungguh, kalau dia mencari syarikat tersebut, pakai tak jumpa.
“Tu hang toksah risaulah. Aku boleh hantaq.” Lega perasaan Jidin.
“Tapi aku ingat hang kena pi potong rambut tu dulu. Kalau hang pi temuduga dengan rambut serupa Jack Sparrow ni, jangan kata syarikat tu tak mau, kilang buat sabun pun boleh tendang.”
Raees senyum sambil pegang hujung rambut yang sudah sampai ke bahu. Bukan mahu meniru gaya penyanyi rock, tetapi sejak berhenti kerja jadi cikgu, tiga bulan lepas, Raees langsung tidak ambil kisah tentang penampilan diri. Bukan ada guru besar yang mahu menegur, paling-paling pun, ketua kampung kerana rata-rata anak dara dan kaum ibu memakai tudung. Mana sesat pula orang berambut panjang tidak bertudung. Itupun kebetulan ketua kampung terpandang dari belakang.
“Aku nak solat asar dulu. Lepas tu baru kita pi,” kata Raees sambil memandang Jidin. Jidin angguk tanda setuju.
“Tu ada nasi ka?” Jidin bertanyakan pula tentang mangkuk bertingkat yang sejak tadi diletak atas meja sofa.
“Mana ada apa dah, Ada budak perempuan terlanggaq aku tadi. Habis nasi dengan sepat ronggeng tertabuq atas lantai,” jawab Raees kesal. Teringat semula gadis bertubuh kecil yang memiliki rambut serupa ekor tupai. Manis orangnya, budi bahasa juga lembut tapi sayang, kainnya tak cukup.
“La, ruginya. Bukan senang nak makan sepat ronggeng kat sini.” Jidin tumpang kesal sama. “Tulah.” Kesal Raees bersahutan.
Wajah gadis tadi melintasi ruang mata. Sungguh, Raees mana pernah melihat gadis secantik itu. Sebab itu Raees tidak boleh lupa.
Di kampung mereka yang paling cantik pun Rosni, gadis yang bekerja sebagai kerani di Pejabat Tanah. Itulah gadis yang Puan Mariana berhajat benar mahu ambil menantu. Tak mau Raees. Maintenance tinggi. Kurang-kurang duit belanja kahwin saja empat belas ribu. Mana Raees nak cekau duit sebanyak tu.
 IMAN meniarap atas katil sambil belek komik dengan pandangan kosong. Makanan lelaki yang bertarabur atas lantai depan Salon Jaa Beauty tadi masih terbayang-bayang. Sedih Iman terbawa-bawa sampai rumah sehingga dia terpaksa tolak makan malam. Mata terkalih bila pintu yang tersedia ternganga diketuk.
“Ada sesuatu tak kena? Merajuk dengan papa lagi?” Wafi abang Iman bertanya dan berdiri tegak di situ. Lambat Iman geleng.
“Solat ke tidak ni?” soal Wafi lagi. Tahu benar akan penyakit liat Iman. “Cuti…”
“Mood periodlah ni?” Wafi senyum. Satu-satunya adik perempuan kesayangan Wafi yang akan mencecah umur 21 tahun bulan hadapan dipandang lama.
“Abang…” Baru saja Wafi mahu pusing badan untuk tinggalkan bilik Iman, sudah dipanggil semula.
“Ya, kenapa?”
“Betul ke kalau kita putuskan rezeki orang, rezeki kita juga akan putus?”
“Ya begitulah. Lambat dengan cepat saja. Kita putuskan rezeki orang, nanti Allah putuskan pula rezeki kita. Hidup ini memang begitu. Ada memberi dan ada yang menerima. Kalau biasa duduk atas, maka tak mustahil pula untuk tidak biasa duduk di bawah. Sederhanalah.” Iman tarik nafas. Butir-butir nasi di atas lantai makin jelas. Lelaki itu makan atau tidak malam ini? Kesianya dia kalau kelaparan.
“Kenapa ni? Kalau ada masalah cakaplah dengan abang. Rezeki siapa yang Iman sudah putuskan?” Wafi yang memiliki wajah seiras Datin Yatie, menghampiri Iman. Kemudian duduk di birai katil. Komik di tangan Iman ditarik. Pantang kalau dia bercakap tidak diberi perhatian. “Petang tadi…” Iman duduk bersebelahan Wafi.
“Iman terjatuhkan mangkuk bertingkat seorang lelaki. Habis nasi berterabur atas lantai. Abang tahu tak, lauknya cuma ikan goreng semata. Lepas tu Iman tengok dia macam baru datang dari kampung. Mungkin nak cari kerja kat sini. Nampak macam orang susah. Macam mana kalau itu saja makanan yang dia ada?” Sedih sungguh Iman.
Wafi peluk bahu Iman. “Itu namanya bukan putuskan rezeki orang. Itu namanya tidak sengaja. Lainlah Iman sendiri yang tolak.”
“Tapi muka dia kesian sangat.”
“Iman ada minta maaf tak?”
“Ada, Iman nak kasi duit, tapi dia tak nak.”
“Baguslah. Yang penting Iman sudah minta maaf, tapi pasal nak bagi duit tu abang kurang setuju. Bukan semua orang bermata duitan macam Iman. Bukan semua orang boleh dibeli dengan duit. Dan sesetengah orang, pemberian cara begitu merupakan satu penghinaan.”
 “Ah…” Iman tambah kesal. Tersentak keduanya bila Datin Yatie muncul.
“Apa saja dua beradik ni,” tegur Datin Yatie sambil tunjuk telefon bimbit milik Wafi. “Bahiyah call,” kata Datin Yatie lagi. Cepat Wafi mendapatkan Datin Yatie.
 “Kenapa tu?” soal Datin Yatie sambil muncungkan mulut ke arah Iman.
“Sindrom simpati tahap satu,” beritahu Wafi sambil tergelak. Kemudian ambil telefon bimbit dari tangan Datin Yatie dan bawa keluar. Tunang di talian.
 “Err… Mama dapat tahu esok ada sale kat SOGO. Lima puluh peratus,” kata Datin Yatie bersahaja. Terus Iman terjun dari katil.
“Mama, pinjam kad kredit.” Terus Iman tarik tangan Datin Yatie. Datin Yatie geleng, betullah kata Wafi sindrom simpati tahap satu. Tidak bersungguh rupanya simpati Iman.

PROLOG...Yang Manis


Orang kata, kalau dalam diri ada jiwa, jahat macam mana pun dia akan menangis. keras hati sekeranya pun akan lembut. Tapi susah untuk melihat Iman menangis.
“Maaf, Iman tak sengaja.” Mangkuk tingkat berterabur atas lantai bersama isinya, nasi dan sepat ronggeng goreng semata. Mak Raees kata boleh makan dua hari. Lambat basi.
“Tak pa. Saya pun tak nampak cik.” Raees tunduk betulkan mangkuk bertingkat. Tak ada apa yang boleh dimakan lagi, buang sajalah. Kalau bukan kata rezeki Raees, nak buat lagu mana lagi. Tuhan sudah tentukan begitu.
“Maaf bang, Iman betul-betul tak nampak.” Kelam kabut Iman makin menjadi. Kenapalah dia cuai benar sampai tak boleh kenal tiang dengan orang. Bukannya gelap gelita.
“Iman…” Nawal melaung.
“Kejap.” Iman cuba membantu.
 “Tak apa cik, saya boleh buat.” Dia nak duduk dengan kain paras lutut lagu tu? Ketat pulak, baik tak payah tolong. Tak senonohnya. Raees angkat muka. Muka lawa. Tapi kenapa pakai kain tak cukup? Perempuan tak manis pakai lagu tu.
Kalut Iman keluarkan duit. Dalam Prada warna pink cukup-cukup 100 ringgit. Papa kata tak boleh minta sampai hujung bulan. Hujung bulan bukan 2 hari, ada 13 hari mahu sampai hujung bulan. Masalah besar nanti. Tak apa, Iman tak perlukannya. Lelaki yang nampak baru turun bas entah dari kampung mana, lebih memerlukannya. Beg pakaian serta beg plastik jadi saksi penting, Iman tak salah teka. Sah dari kampung. Mungkin mahu cari kerja. Nasi putih dan ikan kering jadi saksi kedua. Itu yang buat Iman jatuh kasihan.
“Abang ambil duit ni ya. Sebagai ganti Iman jatuhkan bekalan abang.” Iman hulur juga 100 ringgit yang tinggal. Kata papa kalau mahu bersedekah, jangan teragak-agak. Namanya tidak ikhlas kalau main agak-agak. Nak sedekah bagi terus.
Mata Raees pandang Iman. Mata kecil dan mata besar berlaga. Mata Iman kecil saja, mata Raees yang terlebih besar. Raees tak marah. Mana tau budaya orang sini suka sedekah duit kalau buat salah. Raees kena faham. Mana boleh masuk kandang rimau bunyi kambing. Tak lama hiduplah jawabnya.
 “Tak pa. Cik tak salah. Saya yang tak perasan.”
Ya, Raees pun sama salah. Sambil jalan baca alamat rumah Jidin. “Ambillah, Iman ikhlas ni.”
“Tak pa.” Kalut Raees ambil beg pakaian, kemudian beg plastik. Mangkuk tingkat sekali. “Assalamualaikum.” Raees cakap sebelum atur langkah.
 Tapi sebelum tu mata pandang nasi dan sepat ronggeng goreng yang jadi habuan lantai. Itulah masakan terakhir emak yang tidak sempat dijamah. Iman tahu abang dari kampung entah mana itu sedih melihat nasi dan ikan masin atas lantai. Mana tahu dia tak ada duit mahu makan. Mana tahu itulah bekalan makanan yang dia.
“Iman, kenapa kau menangis?” Nawal gelak. Tengok air mata Iman, rasa macam tengok muka Mr Bean, lawak habis.
“Aku tak boleh tengok orang miskin.” Gelak Nawal mati. Mula tidak kenal siapa Iman yang sebenarnya.