Followers

Friday 14 December 2012

karya-karya Mariss & Qaesh Qaisara



Tajuk : Bila Hati Kata Sayang
Penulis : Marissa
Harga: RM 18.00sm / : RM21.00

Terbitan: KaryaSeni
Sinopsis: Dia hadir waktu aku sudah bergelar tunang orang. Awal-awalnya, aku fikir hanya biasa-biasa saja, tetapi pada hujung-hujungnya, aku tahu semua itu bukan lagi sekadar biasa-biasa saja. Sudah menjadi sangat-sanggat luar biasa.

Aduhai… Kenapa dia macam syok sahaja dekat aku? Selalu buat benda-benda yang tidak aku jangkakan. Atau aku yang terlebih syok dekat dia? Kalau betul, apa yang harus aku lakukan? Minta putuskan tali pertunangan? atau aku kena lari bersama dengan si dia.

"Degil sangat ni kenapa? Nasib baik awak jauh."

"Kalau dekat kenapa?"

"Saya cium awak!"

"Encik nak ke cium saya ni. Kan saya kuli encik. Lalu ke encik cium saya?" Aku buat-buat gelak walaupun aku tak ada mood langsung nak gelak.

"Awak berani cakap macam tu sebab kita jauh. Kalau dekat nak cakap dengan awak pun susah. Betullah kata orang, bila jauh dirindu!"

"Eh! Tolong sikit. Siapa yang rindukan encik. Tak nak saya rindukan encik tu!" Cepat saja aku nafikannya.

"Betul? Betul tak rindukan saya?"

Aku diam. Tak boleh nak jawab. Sebab memang betul aku rindukan dia. RINDU GILA!
Bila Hati Kata Sayang

Akan tetapi, bolehkah aku terus-terusan merindui dia? Bolehkah aku jatuh cinta kepadanya sedangkan aku tahu, semuanya sudah benar-benar terlambat.

Tajuk: TEDUHAN KASIH
Penulis: MARISSA
Harga: RM22.00sm / RM25.00ss
Terbitan: Karya Seni

Sinopsis:
“Kau ingat dengan anak ni kau boleh paksa aku ubah keputusan aku? Kau nak ugut aku dengan anak kau ni? Eh! Kau jangan haraplah aku akan ikut kehendak kau. Aku tetap ceraikan kau!” -RYZAL.

Sampainya hati Ryzal, hanya kasihnya sudah tertumpah buat Ayu teman baikku sendiri, tergamak dia menyingkirkan aku dalam keadaan begini. Ketika aku mengandungkan anaknya, dia melafazkan talak.

Dan ketika aku merasakan aku sudah tiada siapa-siapa lagi di dunia ini dan jalan yang bakal aku lalui sangat gelap, dia hadir menyuluh kegelapan itu. Sekali gus meletakkan aku di tengah-tengah persimpangan di antara keikhlasan dan kenangan semalam.

“Sebab kita ada Adam. Kita nikah sebab Adam. Apapun yang berlaku, kita hanya fikirkan tentang Adam. Lagipun abang dah bosan hidup begini. Hidup abang benar-benar kosong. Tapi sejak abang kenal Adam, seperti hidup abang terisi dengan sesuatu. Abang mahu kita hidup sebagai sebuah keluarga. Abang tahu pintu hari Iffa tidak akan terbuka untuk mana-mana lelaki lagi, tapi tolong fikirkan cadangan abang ini.” -EHSAN.

Aku benar-benar terperangkap. Sedangkan lelaki yang aku cintai separuh nyawa juga dengan mudah berlaku curang. Inikan pula dia, lelaki yang aku sendiri sedia maklum akan masa lampaunya yang kotor. Kelak akan adakah bahagia untuk aku dan anakku? Namun aku tahu hanya dengan Ehsan saja kami menumpang teduh.

Tajuk: KATA TAK SUKA
Penulis: QASEH QAISARA
ISBN: 978-967-365-143-6
Harga: RM 20.00sm / : RM 23.00ss
Terbitan: fajar pakeer
Sinopsis:
Kononnya ala-ala paksa. Mak-mak yang kenenkan. Sudah berpakat masing-masing kata tak suka. Banyak buruk dan kurangnya pada pandangan mata, tapi tak sampai mana, tiba-tiba saja jatuh berkenan pula.

Megat Zafril biasa-biasa saja buat Nea Alisha. Tidaklah kacak sangat, tapi kenapa sangat menyenangkan? Rasa sangat selamat ketika berada di sampingnya. Bagi Megat Zafril pula Nea Alisha sangat pandai mengambil hati dan langsung tidak angkuh walau gadis secantik Nea berhak memiliki perangai begitu. Ah! Kenapa awal-awal lagi mulut ni gatal benar kata tak suka? Kan padan muka masing-masing.

Namun kaum emak tidaklah berputus asa. Pelbagai rancangan diaturkan sehinggalah Megat Zafril dan Nea Alisha kononnya setujukan saja, sedang dalam hati, Tuhan saja yang tahu.

“Kita dah tak boleh lari. Aci lawan apa pun, mereka memang akan kenenkan kita.” Megat Zafril mula rasa gementar. Inikah masanya?

“Abang rasa macam mana?”

“Kita ikutkan ajelah cakap mereka. Abang dah bosan nak mengelak. Makin abang elak, makin benda ni menjadi-jadi. Pening kepala abang.” Megat Zafril mula buka jalan. Mana tahu laluan kali ini mudah.

“Nea fikir pun macam tu. Nea pun dah tak larat nak layan kerenah mereka ni.”

Dengan alasan itulah sebuah mahligai terbina. Namun ketika bahagia berbunnga-bunga, datang pula si Luqman, bekas buah hati Nea. Mahu menagih semula kasih lama. Akan tergugatkah kasih Nea dengan kehadiran Luqman? Mahligai yang mereka bina bakal hancurkah gara-gara orang ketiga?

Tajuk: Lebih Kurang
Penulis: Qaseh Qaisara
Harga: RM17.00sm / : RM19.00ss
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
“Hidup siapa lagi orang nak susahkan kalau bukan hidup isteri orang…”

Mereka tinggal di rumah yang sama dan belajar di kolej yang sama. Namun kepala tak pernah sama. Zackhwan suka benar mencari pasal, Azrina pula mangsa utama.

“Kita dah jadi pasangan suami isteri di alam Facebook, jadi tak ada alasan untuk orang ceraikan awak. Orang betul sayangkan awak. Sayang sangat-sangat!”

Setiap kali terkena, Azrina hanya bersabar dan terus bersabar bersama perasaan benci yang membuak. Dia akan bertahan selagi boleh. Dari hari ke sehari, Azrina dapat menerima si wayar putus dengan perasaan senang. Tahulah Azrina, Zackhwan itu tidaklah senakal mana, hanya perangai semula jadinya yang suka melihat Azrina marah-marah. Comel sangat, kata Zackhwan.

Zackhwan pula sebenarnya bukan niat hendak mengena. Mungkin itulah caranya dia meluahkan kasih sayang terhadap Azrina. Kasih sayang yang berputik sejak mereka pernah bermain layang-layang bersama di zaman kanak-kanak. Semua kasih sayang itu Zackhwan simpan agar suatu hari menjadi kenyataan.

Namun cinta mereka hanya di alam kolej sajakah atau hingga ke akhirnya mereka akan bersama?

Tajuk: Dengan Sepenuh Hati
Penulis: Qaseh Qaisara
Harga: RM19.90sm /: RM22.90ss
483 mukasurat
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
Ashiqah sukakan Fahmy, seorg pelajar tingkatan enam. Lantas sepucuk surat berwarna merah jambu berpindah tangan. Namun surat itu juga lah buat Ashiqah tidak serupa orang buat beberapa ketika. Kerana tidak serupa orang itu, akhirnya Ashiqah terlibat dengan satu insiden. Dia terlanggar Harris, pelajar tingkatan 5 yang juga merupakan adik tiri Fahmy.

Episod pelanggaran itu buat Harris mula terkenang-kenang akan Ashiqah. Membawa pula pertemuan kepada surat merah jambu di bilik Fahmy. Harris menggunakan surat merah jambu sbg alasan utk mengusik Ashiqah dan akhirnya mereka mula menjadi sahabat yang paling akrab.

Persahabatan yg bermula dari zaman persekolahan membuahkan rasa cinta namun cinta itu hanya kekal menjadi sebutan dalam hati kerana setia keapda persahabatan, sehinggalah Fahmy muncul semula. Ashiqah yang tidak pernah dipandang awalnya, mula mencuri perhatian Fahmy sekali gus menggugat kasih Harris terhadap Ashiqah.

Sebenar-benarnya, siapakah yg paling layak menerima cinta Ashiqah? siapa pula mahu Ashiqah dengan sepenuh hati?

Tajuk: Hajat Hati
Penulis: Qaseh Qaisara
Harga: RM8.90sm / RM11.90ss
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
Zahrin sudah terlalu lama menyimpan perasaan buat Fatin. Sejak dari bangku sekolah lagi. Namun disebabkan mereka adalah jiran yang paling rapat, perasaan itu kekal sebagai hajat hati yang tidak mampu diluahkan.

Kehadiran Misya, adik sepupu Zahrin, benar-benar menguji kesabarannya. Lebih-lebih lagi cadangan untuk menjodohkan mereka berdua. Zahrin bertegas menolak. Sikap Zahrin menimbulkan curiga di kalangan ahli keluarganya sekali gus mereka membuat andaian sendiri. Dia sentiasa dicurigai dan akhirnya Zahrin menyedari akan semua perubahan yang berlaku di kalangan ahli keluarganya, termasuk Fatin sendiri.

Penjelasan Fatin tentang semua perubahan itu amat memeranjatkan Zahrin lantas nekad untuk meluahkan hajat hatinya. Adakah hajat di hati bakal berbalas? Apakah Fatin turut berkongsi rasa?

Tajuk: Lagu Cinta Buatmu
Penulis: Qaseh Qaisara
Harga: RM19.90sm /: RM22.90ss
Halaman: 504
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
Dalam menanti saat bahagia, tunang Daniel, Nadia mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinan mereka. Demi menyelamatkan maruah keluarga, Daniel terpaksa mencari jalan untuk meneruskan juga perkahwinan itu.

Anis terpaksa menjadi ‘pak sanggup’ apabila terpaksa menjadi pengganti pegantin perempuan buat Daniel. Demi sayangkan ibu tirinya, Anis akur.

Dua minggu usia perkahwinan mereka, masih tiada siapa yang ingin memulakan bicara. Sikap Daniel yang dingin menggusarkan hati Anis. Tidak tahu status sebenar dirinya. Sehinggalah satu kejadian yang memalukan Anis berlaku, bermulalah detik perkenalan antara Daniel dan Anis.

Sikap Daniel yang dingin dan serius kian berubah dari hari ke hari. Bibit-bibit cinta kian bercambah dalam diri masing-masing. Namun kemunculan Nadia, menguji kesetiaan perhubungan mereka. Menguji tahap kejujuran dan tahap kasih sayang yang mereka bina.

Berjayakan Anis mempertahankan haknya? Berjayakah Daniel mempertahankan cintanya? Benarkah lagu cinta telah bernada di hati mereka?

Tajuk: Jangan Pernah Berubah
Penulis: Qaseh Qaisara
Harga: RM 18.90sm /RM21.90ss
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
Kata orang cinta itu asalnya dari mata. Kemudian, sampai ke hati. Betullah agaknya kata orang itu, sebab dengan mata itulah Hanisha jatuh hati kepada lelaki yang entah siapa-siapa. Kemudian, dia jatuh sayang. Sayang sangat-sangat sampai tak boleh lupa siang dan malam. Mula menyimpan angan-angan yang bukan-bukan.

“Hani fikir, abang semudah itu untuk berubah hati? Hani ingat abang ni boneka yang hanya tahu mengikut kata dan telunjuk orang?”

Bagi Fahrin yang dituduh dengan penyataan yang sama sekali tidak benar, mula memasang angan yang indah-indah apabila emaknya mengutarakan sesuatu yang benar-benar memeranjatkannya. Kalau dah jodoh, larilah ke mana sekalipun, jodoh tetap jodoh.

Benarkah jodoh yang diharapkan akan berkekalan hingga ke akhirnya? Mampukah Hanisha dan Fahrin mengatasi rintangan dan masalah yang menduga? Benarkah tidak akan ada hati yang pernah berubah?

Tajuk: Berteman Rindu (Dwilogi Cinta)
Penulis: Qaseh Qaisara & Sarnia Yahya
Harga: RM19.90sm /: RM22.90ss
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
Sejauh mana pun mereka membawa diri, Najla dan Amal tidak mudah melupakan segala yang pernah menjadi milik mereka. Bukan mudah juga untuk mereka merelakan perpisahan. Bukan juga mudah melupakan kepergian.

Amal tahu dirinya hanya gagak di rimba dan Hakim umpama merak kayangan. Sudah ditakdirkan Hakim itu tidak untuknya. Namun bukan salahnya apabila kasih setia tercipta untuk lelaki itu. Najla sedar cintanya kepada Anas Salihin tidak pernah pudar walau jarak dan waktu memisahkan mereka. Namun, Najla tidak sanggup untuk terus berharap apabila terbukti cinta itu tidak berpihak untuknya.

Apakah benar Amal dan Hakim tidak berhak untuk bersama hanya kerana dunia mereka berbeza? Dan, selama mana pula Najla dan Anas Salihin terdaya menyembunyikan rahsia hati? Selama mana mereka rela berteman rindu sedang di hati ada cinta menemani?

Tajuk: Aku Tom Kau Jerry
Penulis: Qaseh Qaisara
Harga: RM10.90sm/ : RM13.90ss
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
“Habis kau ingat kau baik sangat? Kalau aku jahat, kau pun sama jahat,” marah Farah Hana sambil mengesat air mata.
“Memang aku tahu aku jahat, tapi aku baik sikit daripada kau. Kau tu jahat tahap gaban. Gaban pun tak jahat macam kau!” balas Nurul.
“Gaban tu sepupu kau ke yang kau kenal sangat tu?” soal Farah Hana kemudian.
“Lah, tanya aku pula. Bukan ke gaban tu sepupu kau?”

Nurul dan Farah Hana, walaupun sekelas, tapi antara mereka tidak pernah sehaluan sehinggakan ada yang menggelar mereka Tom and Jerry. Farah Hana sentiasa menggunakan kelebihannya sebagai pengawas untuk mengenakan Nurul. Tapi Nurul pula menjadikan psikologi sebagai senjata utama sehinggakan tiap apa yang Farah Hana lakukan tidak menjadi. Tapi persoalannya sampai bila mereka harus menyandang gelaran Tom and Jerry? Mampukah mereka berubah?

Tajuk: Janji Tak Degil Lagi
Penulis: Qaseh Qaisara
Harga: RM10.90sm /: RM13.90ss
Terbitan: Fajar Pakeer

Sinopsis:
Fahim sangat degil, malas belajar, malas bawa buku teks dan juga malas buat kerja sekolah. Akibat daripada kemalasannya itu dia selalu didenda lari pusing padang. Ini menimbulkan rasa kurang senang Fahim terhadap Cikgu Yahya yang selalu menghukumnya.

Satu hari, Fahim telah melakukan satu kesalahan besar, namun Cikgu Yahya sedia memaafkannya dan memberi sekali lagi peluang buat Fahim. Sejak hari itu dia berusaha untuk berubah.

Ketika dia mula menjadi seorang murid yang baik dan juga mula menyukai Cikgu Yahya, dia menerima satu berita yang tidak menggembirakan. Cikgu Yahya bakal berpindah ke sekolah lain. Apakah Fahim akan terus berusaha menjadi murid yang baik ataupun kembali ke sikap asal dengan perpindahan Cikgu Yahya itu?

Tajuk: Kerana Siti Munirah
Penulis: Qaseh Qaisara
Harga: RM10.90sm/: RM13.90ss
Terbitan: Fajar Pakeer
Sinopsis:
“Esok kita berkemas. Nanti Pak Hamid hantar kamu ke rumah pak cik kamu. Sekolah di sana pula!” tegas Tuan Ahmad Muzakir.

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Ikmal Hakimi memberontak tika itu. Anak bandar sepertinya harus belajar di luar bandar. Oh tidak!

“Seronok kata kau. Macam berkawan dengan beruk hutan. Bodoh-bodoh semuanya. Perkataan Bahasa Inggeris satu pun tak faham,” kutuk Ikmal Hakimi ketika berbual dengan temannya di talian.

Tanpa disangka perbualannya didengari Siti Munirah. Gadis yang mengenakannya di hari pertama persekolahan yang juga sudah menyebarkan cerita itu kepada seisi kelas sehinggakan dia dipulau. Dendam Ikmal Hakimi makin membara.

Namun tanpa diduga perbuatan keterlaluan yang dilakukannya itu mengundang rasa marah di hati Siti Munirah hinggakan timbul rasa bersalah di hatinya.

“Tahanlah sikit. Baru sakit macam ni dah terpekik melolong,” marah Siri Munirah.
“Sakit sangatlah!”
“Sikit saja tu. Budak sombong macam awak susah nak mati.”
“Sombong?! Budak sombong?” soal Ikmal Hakimi.

Itukah tanggapan mereka terhadap Ikmal Hakimi selama ini? Apakah kerana Siti Munirah, kehidupan budak bandar yang keras hati seperti Ikmal Hakimi akan berubah?

No comments:

Post a Comment