“KENAPA tak cakap awai-awai hang nak mai? Boleh aku
pi ambik.”
Jidin mula berleter melihat Raees lemah. Kawan satu
kampung yang sudah berusia 28 tahun itu sudah berhenti dari menjadi guru
sandaran. Katanya rimas mengajar budak-budak darjah satu sedangkan masa di
Universiti Sains Malaysia dulu langsung dia tak ambil subjek mengajar-mengajar
ni. Jauh sungguh terpesong.
Baru dua hari lepas Raees menghubungi Jidin.
Mengkhabarkan tentang temuduga yang mahu dicuba. Pengawai pemasaran untuk
sebuah syarikat pengeksport bekalan minyak masak untuk negara-negara timur
tengah.
“Tak maulah, hang pun sibuk.”
Mata Raees mula pandang kiri kanan rumah kedai
paling atas. Semak samun. Tuala mandi bergantungan di merata tingkap. Baju,
seluar main dan mana nak letak. Sakit mata Raees. Dia pun lelaki, tapi taklah
pemalas lagu ni.
“Hang tinggal berapa orang ni? Tak menyusahkan ke?”
soal Raees sedikit ragu dengan status dirinya di rumah tersebut. Bimbang
mengundang rasa tidak senang rakan serumah Jidin yang lain.
“Taklah, budak-budak rumah ni tak kisah.” Jidin
mencari sesuatu di dalam peti sejuk. Raees menantikan juga air apa yang bakal
Jidin hidangkan.
Bila melihatkan hanya bekas botol mineral serta dua
buah cawan plastik saja yang Jidin bawa, tahulah Raees dia bakal dijamu dengan
air rasmi, ‘ayaq sejuk’. Jidin yang nama sebenarnya Tajudin bin Alias, namun
disebabkan masa kecil kuat menangis nama Jidin kekal hingga ke hari ini. Mujur
dulu tok wan Jidin hanya memanggil dengan nama itu, buatnya jubin atau siling,
lagi haru. Lelaki yang sebaya dengan Raees yang bekerja sebagai kerani bank
itu, pernah menjadi lelaki tersegak di kampung mereka bila mana, Jidin
satu-satunya anak muda yang berjaya pulang dengan bergayanya Kancil keluaran
baru. Namun kedudukan teratas Jidin tidak kekal lama, bila Roy atau nama
sebenarnya Azrul anak bongsu ketua kampung berjaya membawa pulang pula Proton
Saga keluaran baru.
“Bila temudugannya?” soal Jidin. Mengambil tempat di
sofa lusuh.
“Pagi esok. Pukul lapan mesti ada kat sana. Hang
boleh tolong hantaq aku sat? Kalau harap aku pi cari, pukul lapan malam esok
pun sah tak jumpa.” Raees buat muka simpati. Siapa lagi mahu diharap kalau
tidak Jidin. Sungguh, kalau dia mencari syarikat tersebut, pakai tak jumpa.
“Tu hang toksah risaulah. Aku boleh hantaq.” Lega
perasaan Jidin.
“Tapi aku ingat hang kena pi potong rambut tu dulu.
Kalau hang pi temuduga dengan rambut serupa Jack Sparrow ni, jangan kata
syarikat tu tak mau, kilang buat sabun pun boleh tendang.”
Raees senyum sambil pegang hujung rambut yang sudah
sampai ke bahu. Bukan mahu meniru gaya penyanyi rock, tetapi sejak berhenti
kerja jadi cikgu, tiga bulan lepas, Raees langsung tidak ambil kisah tentang
penampilan diri. Bukan ada guru besar yang mahu menegur, paling-paling pun,
ketua kampung kerana rata-rata anak dara dan kaum ibu memakai tudung. Mana
sesat pula orang berambut panjang tidak bertudung. Itupun kebetulan ketua
kampung terpandang dari belakang.
“Aku nak solat asar dulu. Lepas tu baru kita pi,”
kata Raees sambil memandang Jidin. Jidin angguk tanda setuju.
“Tu ada nasi ka?” Jidin bertanyakan pula tentang
mangkuk bertingkat yang sejak tadi diletak atas meja sofa.
“Mana ada apa dah, Ada budak perempuan terlanggaq
aku tadi. Habis nasi dengan sepat ronggeng tertabuq atas lantai,” jawab Raees
kesal. Teringat semula gadis bertubuh kecil yang memiliki rambut serupa ekor
tupai. Manis orangnya, budi bahasa juga lembut tapi sayang, kainnya tak cukup.
“La, ruginya. Bukan senang nak makan sepat ronggeng
kat sini.” Jidin tumpang kesal sama. “Tulah.” Kesal Raees bersahutan.
Wajah gadis tadi melintasi ruang mata. Sungguh,
Raees mana pernah melihat gadis secantik itu. Sebab itu Raees tidak boleh lupa.
Di kampung mereka yang paling cantik pun Rosni,
gadis yang bekerja sebagai kerani di Pejabat Tanah. Itulah gadis yang Puan
Mariana berhajat benar mahu ambil menantu. Tak mau Raees. Maintenance tinggi.
Kurang-kurang duit belanja kahwin saja empat belas ribu. Mana Raees nak cekau
duit sebanyak tu.
IMAN meniarap
atas katil sambil belek komik dengan pandangan kosong. Makanan lelaki yang
bertarabur atas lantai depan Salon Jaa Beauty tadi masih terbayang-bayang.
Sedih Iman terbawa-bawa sampai rumah sehingga dia terpaksa tolak makan malam.
Mata terkalih bila pintu yang tersedia ternganga diketuk.
“Ada sesuatu tak kena? Merajuk dengan papa lagi?”
Wafi abang Iman bertanya dan berdiri tegak di situ. Lambat Iman geleng.
“Solat ke tidak ni?” soal Wafi lagi. Tahu benar akan
penyakit liat Iman. “Cuti…”
“Mood periodlah ni?” Wafi senyum. Satu-satunya adik
perempuan kesayangan Wafi yang akan mencecah umur 21 tahun bulan hadapan
dipandang lama.
“Abang…” Baru saja Wafi mahu pusing badan untuk
tinggalkan bilik Iman, sudah dipanggil semula.
“Ya, kenapa?”
“Betul ke kalau kita putuskan rezeki orang, rezeki
kita juga akan putus?”
“Ya begitulah. Lambat dengan cepat saja. Kita
putuskan rezeki orang, nanti Allah putuskan pula rezeki kita. Hidup ini memang
begitu. Ada memberi dan ada yang menerima. Kalau biasa duduk atas, maka tak
mustahil pula untuk tidak biasa duduk di bawah. Sederhanalah.” Iman tarik
nafas. Butir-butir nasi di atas lantai makin jelas. Lelaki itu makan atau tidak
malam ini? Kesianya dia kalau kelaparan.
“Kenapa ni? Kalau ada masalah cakaplah dengan abang.
Rezeki siapa yang Iman sudah putuskan?” Wafi yang memiliki wajah seiras Datin
Yatie, menghampiri Iman. Kemudian duduk di birai katil. Komik di tangan Iman
ditarik. Pantang kalau dia bercakap tidak diberi perhatian. “Petang tadi…” Iman
duduk bersebelahan Wafi.
“Iman terjatuhkan mangkuk bertingkat seorang lelaki.
Habis nasi berterabur atas lantai. Abang tahu tak, lauknya cuma ikan goreng
semata. Lepas tu Iman tengok dia macam baru datang dari kampung. Mungkin nak
cari kerja kat sini. Nampak macam orang susah. Macam mana kalau itu saja
makanan yang dia ada?” Sedih sungguh Iman.
Wafi peluk bahu Iman. “Itu namanya bukan putuskan
rezeki orang. Itu namanya tidak sengaja. Lainlah Iman sendiri yang tolak.”
“Tapi muka dia kesian sangat.”
“Iman ada minta maaf tak?”
“Ada, Iman nak kasi duit, tapi dia tak nak.”
“Baguslah. Yang penting Iman sudah minta maaf, tapi
pasal nak bagi duit tu abang kurang setuju. Bukan semua orang bermata duitan
macam Iman. Bukan semua orang boleh dibeli dengan duit. Dan sesetengah orang,
pemberian cara begitu merupakan satu penghinaan.”
“Ah…” Iman tambah
kesal. Tersentak keduanya bila Datin Yatie muncul.
“Apa saja dua beradik ni,” tegur Datin Yatie sambil
tunjuk telefon bimbit milik Wafi. “Bahiyah call,” kata Datin Yatie lagi. Cepat
Wafi mendapatkan Datin Yatie.
“Kenapa tu?”
soal Datin Yatie sambil muncungkan mulut ke arah Iman.
“Sindrom simpati tahap satu,” beritahu Wafi sambil
tergelak. Kemudian ambil telefon bimbit dari tangan Datin Yatie dan bawa
keluar. Tunang di talian.
“Err… Mama
dapat tahu esok ada sale kat SOGO. Lima puluh peratus,” kata Datin Yatie
bersahaja. Terus Iman terjun dari katil.
“Mama, pinjam kad kredit.” Terus Iman tarik tangan
Datin Yatie. Datin Yatie geleng, betullah kata Wafi sindrom simpati tahap satu.
Tidak bersungguh rupanya simpati Iman.
No comments:
Post a Comment