Followers

Saturday 15 December 2012

...Yang Manis (bab 2)

“Saya berasal dari kampung Sidam Kiri, Padang Serai. Berhampiran Sungai Petani,” jawab Raees tenang.
Wajah Wafi yang bersih dengan janggut sejemput dipandang dengan penuh harapan. Wafi angguk beberapa kali kemudian pandang Raees dari atas ke bawah. Emm, wajah nampak suci.
“Datang dari Sungai Petani semata-mata nak mohon kerja ni? Sebelum ni kerja apa?” soal Wafi.
“Sebelum tu saya cuma cikgu sandaran.” Wafi angguk.
Kalau pernah jadi cikgu, mesti keperibadian juga baik. Susah mahu cari pekerja begini. Inilah peluang yang terbaik.
“Saya terima Raees untuk jawatan marketing kita orang. Untuk permulaan, saya hanya mampu tawarkan gaji sebanyak tiga ribu setengah. Harap dapat bekerja dengan baik.” Wafi tutup fail yang mengandungi semua matlumat mengenai Raees dan serahkan semula kepada Raees. Wafi tidak mahu banyak cerita. Yang penting, dapat beri tumpuan terhadap tugas yang diamanahkan sudah cukup.
“Alhamdulilah, terima kasih encik. Bila saya boleh mula kerja?” soal Raees dengan perasaan yang cukup gembira. Tidak sia-sia dia datang dari jauh. Rupanya rezeki memang sudah tersedia untuknya.
 “Awak boleh mulakan kerja esok. Selepas ni awak jumpa dengan Puan Selvarani,di depan tu. Dan berikan semua butir peribadi awak kepada dia. Selamat menyertai kami.” Wafi hulur tangan tanda mengalu-alukan kedatangan Raees sebagai pekerja baru.
Raees sambut tangan Wafi dengan penuh gembira dan syukur. Raees tidak dapat sembunyikan perasaan gembiranya. Syukur alhamdulilah. Orang pertama yang wajib diberitahu tentang berita gembira itu ialah emaknya, Puan Mariana. Sudah tentu berkat doa seorang ibu, sudah termakbul hajatnya mencari rezeki jauh dari kampung halaman.
“Mak, orang dah dapat kerja ni. Esok orang mula kerja,” beritahu Raees sebaik sahaja salamnya dijawab Puan Mariana.
“Alhamdulilah. Senang hati mak dengaq. Kerja elok-elok.”
“Insya Allah mak. Orang nak habaq mak benda tu aje. Orang nak pi bank ni, nak buat kad. Assalamualaikum mak.”
“Waalaikumusalam.” Lega perasaan Puan Mariana. Doanya sudah dimakbulkan. Kemudian Puan Mariana simpan telefon bimbit ke dalam poket baju kurung dan sambung sapu daun-daun kering yang jatuh bertaburan di halaman rumah.
“As, anak kak dapat kerja!” laung Puan Mariana ketika Puan As kalut bagi makan ayam.
“Ya ka? Alhamdulilah. Tak sia-sia Raees tinggalkan kampung. Dapat jugak dia kerja tu. Bila dia mula kerja?” Puan As mula melangkah menghampiri halaman rumah Puan Mariana.
“Raees cakap, esok dia mula.” Tak sudah senyuman menghiasi bibir Puan Mariana. Ada juga rezeki buat anak lelaki tunggalnya. Puan Mariana duduk di pangkin bawah pokok pelam yang sedang berbuah lebat selepas itu untuk melepaskan rasa penat. Angin dari sawah bertiup membawa angin nyaman. Pokok-pokok padi yang mula terbit buah menari-nari mengikut rentak angin.
“Lega perasaan kak,” kata Puan Mariana lagi. Puan As juga duduk sama di pangkin.
“Tapi kak teringat jugaklah dia. Risau perut sejak dia pi.” Puan Mariana lap pula peluh di dahi.
“Dia dah besaq. Taulah jaga diri. Kak tok sah dok ingat sangat. Susah hati-susah hati nanti, naik darah lagi.”
“Tu anak As, hati mak mana yang tak risau.”
 “Macam tulah masa Jidin pi dulu. Tak lalu juga makan dalam seminggu. Tapi kita nak buat macam mana, depa dah besaq. Mana kita boleh halang,” pujuk Puan As. Puan Mariana tarik nafas, lega campur bimbang.
Masa itulah, Puan Mariana nampak Rosni sedang mengayuh basikal menghala ke arah rumahnya. “Kalau kak tak pi pinang Rosni dulu, rasanya Raees tak merajuk sampai bawak diri lagu ni,” kata Puan Mariana lagi.
 “Taklah kak, Raees memang nak mintak kerja kut. Bukan pasai Rosni.”
“Tulah, kak yang gatai pi pinang Rosni tak habaq kat Raees. Sudahnya Raees malu.” Menyesal sungguh Puan Mariana ketika itu kerana memandai sendiri. Sudahnya Rosni tolak bulat-bulat.
 “Kak tak tau ka, dia dok bergila dengan Mail Lambung. Satu kampung dah tau,” bisik Puan As bila Rosni sudah hampir benar dengan mereka.
“Mail lambung cucu Odah soget ka?”
“Ha la, budak tulah. Mana segak pun. Hitam legam. Nak banding dengan Raees jauh sangat. serupa taik cicak.” Galak Puan As anyam ketupat. Geram sebenarnya sebab dia pun pernah impikan Rosni jadi menantu.
 “Dah dia berkenan yang had warna tu, kita nak buat macam mana. Selera masing-masing,” kata Puan Mariana sambil buang jauh-jauh rasa marah dan dendam. Rosni bukan jodoh Raees.
“Assalamualaikum, awai parlimen bersidang. Ada isu tergempaq ka?” Rosni tongkat basikal. Kemudian bersalaman dengan Puan Mariana dan Puan As.
“Perlimen kami biasa la, bersidang selalu,” perli Puan As.
 “Hang tak kerja ka hari ni?” soal Puan Mariana.
“Cuti, mak nak pi hospital. Ros nak mintak daun kunyit sikit.”
“Daun kunyit rumah hang mana pi?” soal Puan As.
“Habis siput babi makan,” kata Rosni sambil berjalan ke arah rumpun kunyit milik Puan Mariana yang tidak jauh dari pangkin.
“Tak sekolah betui sipu babi rumah Ros tu. Sampai daun kunyit pun balun habis.” Puan As belum sudah lagi. Terus Puan Mariana tarik baju Puan As. Tidak mahu Puan As menyindir lagi. Cukup sudah. Puan As diam.
“Err… Raees mana? Dua hari tak nampak.” Soal Rosni sekembalinya dari mengambil beberapa helai daun kunyit.
“Mak cik ingat Ros tak perasan Raees tak dak,” kata Puan Mariana perlahan. Huh, ada hati lagi nak tanya anak orang tu.
 “Perasan, tu yang tanya.”
 “Raees dah dapat kerja kat Kuala Lumpur. Esok dia mula kerja,” jelas Puan Mariana. Gadis tinggi lampai dan berkulit hitam manis dipandang lama.
 “Emm, baguslah,” kata Rosni. Dalam hati berbisik juga. Sampai hati Raees tak cakap apa-apa. Marah sangatkah pinangan ditolak?
“Balik dululah, mak nak pi hospital sat lagi. Terima kasih daun kunyit ni,” kata Rosni sambil kayuh basikal semula. Tinggalkan keduanya tanpa salam-salam lagi. Berbekas juga sebab Raees tak cakap apa-apa.
“Kak harap nanti, Raees dapatlah jodoh orang sana. Senang hati sikit,” kata Puan Mariana penuh harap. Kalau boleh biarlah Raees kahwin dulu daripada Rosni.

“Hoi minah, nak ke mana pulak tu?” panggil Nawal. Iman tidak peduli. Dia pasti itulah lelaki pemilik mangkuk bertingkat.
“Abang baju putih!” jerit Iman sehabis kuat. Peduli apa dia. Langkah Raees terhenti. Dia toleh belakang. Seorang gadis berkasut tinggi berkaca mata hitam ala-ala mata belalang, dan berskirt pendek sedang melambai ke arahnya.
“Ya, ada apa cik?” soal Raees. Pelik juga. Iman terbongkok menahan penat. Laju gila mamat ni berjalan. Bila lelahnya sedikit berkurangan, Iman tegak badan dan tolak cermin mata ke kepala.
“Ingat Iman tak?” soal Iman.
Raees tatap wajah Iman. Walau warna pada mata Iman, tidak sama dengan warna mula-mula mereka berjumpa, masakan Raees akan lupa. Dan hari ini warna pada muka Iman, mengalahkan warna burung merak, Raees kenal juga sebab wajah itulah yang terbayang-bayang dek mata sejak semalam.
“Ya, ingat. Cik yang terlanggar saya semalam bukan?” kata Raees. Perasaan gembira yang dibawa bersama buat Raees tersenyum.
“Jangan panggil ciklah. Panggil Iman sudah.” Raees senyum lagi. Sedap nama. Indah untuk disebut, tapi sayang penampilannya tidak begitu indah. Kan manis kalau berbaju kurung dan tambah manis kalau bertutup kepala. Rasa jatuh jantung Iman melihat senyuman Raees. Inilah senyuman paling manis. Justin Bieber pun boleh tumbang apatah lagi setakat Siwon. Memang manis gila. Dup dap dup dap jantung Iman tambah dua kali ganda.
“Ya, kenapa Iman panggil abang?” soal Raees lagi. Abang? Rasa kecut perut Raees membahasakan dirinya abang. Belum pernah dia membahasakan diri sebagai abang dengan gadis secantik Iman.
“Pasal semalam, Iman betul-betul minta maaf,”
 “Oh, pasai tu ka? Tak apalah. Iman tak sengaja pun.” Dia orang Kedah ke? Lah jauhnya. Kedah pun Kedahlah. Kalau hati dah suka, orang Siam pun tak apa. Bukan kira tu semua. Jadi Iman, apa lagi. Nombor telefon dia mintalah.
“Abang buat apa kat sini?” Iman tunjuk ramah. Kena merewang dulu baru boleh minta nombor telefon. Kalau minta terus, memang karutlah. Orang gila pun fikir sepuluh kali nak bagi pada orang yang tak dikenali.
“Abang datang minta kerja. Alhamdulilah dapat. Esok abang mula kerja.” Raees juga terlebih ramah. Bukan apa, suka juga dengan budak Iman ini. Dia tak sombong walaupun dia cantik dan gaya-gaya seperti anak orang berada. Tapi tulah. Kepala lutut Iman tu yang dia tak berapa berkenan. Satu lagi yang buat Raees teringat selalu, calang-calang orang mana mau nak bercakap dengan Raees. Diakan serabai semacam. Mana tau bergaya ikut orang bandar. Tu yang Raees jatuh suka.
“Ya? Alhamdulilah.” Iman tumpang suka.
“Abang pi dululah. Banyak nak kena buat lagi ni. Assalamualaikum.” Raees mengalah. Bukan dia tidak mahu berbual lebih lama. Tujuan dia datang jauh-jauh bukanlah mahu mengayat anak dara orang. Dia mahu bekerja. Mahu mencari rezeki yang mungkin boleh membantu sedikit meringankan beban orang tua.
“Waalaikumusalam.” Hampa. Betul-betul Iman hampa. Jangan kata nombor telefon, nama pun Iman masih tidak tahu. Buat penat dia berlari. Dengan langkah longlai, Iman kembali ke tempat Nawal menunggu.
“Apa hal?” soal Nawal.
“Tak dak apa-apa.” Nawal kerut dahi. Kemudian pegang dahi Iman. Takut tersampuk tadi. Tiba-tiba boleh cakap loghat belah-belah utara.
“Kau demam ke apa ni? Tiba-tiba saja boleh tukar channel.” Nawal gelak. Boleh pitam kalau ada sepuluh orang kawan macam ni. Dia jumpa orang Kedah, dia tukar channel Kedah, dia jumpa orang Siam, dia tukar channel Siam.
“Satgi aku cerita, aku nak pi jumpa abang aku. Nak mintak duit sikit.” Iman sambung cakap ikut loghat belah utara. Saja, terlebih hampa. Nawal sudah tidak boleh kata apa melainkan gelakkan Iman. Macam-macam. Tanpa memperdulikan Nawal, Iman terus saja melangkah menuju ke tempat syarikat milik Datuk Asri.